Putrajaya, 18 Ogos 2025 (Isnin) – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM Holdings Sdn. Bhd., En. Irwan A. Rahman telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee di Pejabat Ketua Pengarah JAKIM, Putrajaya hari ini.
Pertemuan ini berlangsung dalam suasana mesra dan penuh semangat kerjasama, membincangkan potensi penggunaan teknologi terkini bagi memperkukuh ekosistem halal di Malaysia. Antara fokus utama perbincangan adalah bagaimana inovasi digital, sistem pintar dan automasi dapat membantu memperluas skop halal merangkumi proses pensijilan, pengesanan rantaian bekalan, serta pemantauan kepatuhan halal yang lebih berkesan.
Selain itu, isu keselamatan turut diberi perhatian khusus, terutama berkaitan pemantauan premis-premis di bawah seliaan JAKIM. YAPEIM Holdings melalui kepakaran dalam bidang pemantauan keselamatan dan penyelesaian bersepadu menyatakan kesediaan untuk menyokong JAKIM dalam meningkatkan tahap keselamatan, integriti operasi, serta keyakinan masyarakat terhadap sistem halal negara.
Kunjungan ini menandakan komitmen bersama antara YAPEIM Holdings dan JAKIM dalam memperkukuh kerjasama strategik, seiring dengan aspirasi Malaysia untuk terus menjadi peneraju industri halal global.
