20 April 2026 – YAPEIM Holdings Sdn. Bhd. terus mengorak langkah ke hadapan apabila mengadakan lawatan strategik ke sebuah kilang pembekal solar antara terbesar di Malaysia, dalam usaha meneroka potensi perniagaan baharu berimpak tinggi.
Lawatan yang diketuai oleh Irwan A. Rahman Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM Holdings dan barisan pengurusan tertinggi itu dilihat sebagai langkah proaktif syarikat dalam menilai peluang memasuki sektor tenaga boleh diperbaharui yang kini berkembang pesat dan mendapat permintaan tinggi di peringkat global.
Sepanjang lawatan, delegasi YAPEIM Holdings didedahkan kepada operasi berskala besar kilang berkenaan termasuk teknologi terkini dalam penghasilan panel solar serta keupayaan pengeluaran yang mampu memenuhi keperluan pasaran tempatan dan antarabangsa.


Lebih signifikan, sesi perbincangan dua hala turut membuka ruang kepada potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, khususnya dalam pembangunan projek solar, model pembiayaan inovatif serta pelaksanaan inisiatif tenaga hijau yang boleh memberi manfaat luas kepada komuniti dan sektor perniagaan.
Sumber dalaman memaklumkan, YAPEIM Holdings melihat industri solar sebagai antara sektor masa depan yang mampu menjadi pemacu pertumbuhan baharu syarikat, selari dengan trend peralihan dunia ke arah penggunaan tenaga lestari.
Langkah ini juga mencerminkan komitmen YAPEIM Holdings dalam memperkukuh portfolio perniagaan sedia ada dengan meneroka bidang bernilai tinggi yang berdaya saing serta mampan.
Lawatan ini dijangka menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik jangka panjang, sekali gus membuka lembaran baharu kepada YAPEIM Holdings dalam industri tenaga boleh diperbaharui di Malaysia
