YAPEIM HOLDINGS MENGINTAI PELUANG KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA AFFIN BANK ISLAMIC

by | Aug 11, 2026 | Berita | 0 comments

KUALA LUMPUR, 1 Julai 2026 – YAPEIM HOLDINGS Sdn. Bhd. terus memperkukuhkan agenda pengembangan perniagaannya dengan mengintai peluang kerjasama strategik bersama AFFIN Bank Islamic menerusi satu kunjung hormat yang diadakan di Ibu Pejabat AFFIN Bank Islamic, Kuala Lumpur.

Delegasi YAPEIM HOLDINGS telah diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah YAPEIM HOLDINGS, Tuan Khairul Faiz Morat, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM HOLDINGS, En. Irwan A. Rahman, serta barisan Pengurusan Utama YAPEIM HOLDINGS.

Kunjungan hormat tersebut menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang yang mampu menyokong pengembangan produk dan perkhidmatan YAPEIM HOLDINGS. Perbincangan turut menyentuh peluang kolaborasi dalam aspek penyelesaian kewangan, pendigitalan, pembangunan perniagaan serta inisiatif yang dapat memberikan nilai tambah kepada pelanggan dan rakan strategik.

Usaha ini selaras dengan aspirasi YAPEIM HOLDINGS untuk memperluaskan jaringan kerjasama bersama institusi kewangan terkemuka bagi memperkukuhkan ekosistem perniagaan syarikat serta meningkatkan daya saing dalam pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM HOLDINGS, En. Irwan A. Rahman, berkata kunjungan hormat ini merupakan langkah awal yang signifikan dalam membuka ruang kepada kerjasama strategik yang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua organisasi.

“YAPEIM HOLDINGS sentiasa komited untuk meneroka peluang kerjasama strategik bersama institusi kewangan yang mempunyai kekuatan dan kepakaran dalam pelbagai bidang. Pertemuan bersama AFFIN Bank Islamic hari ini membuka ruang kepada perbincangan yang positif dalam mengenal pasti potensi kolaborasi yang mampu memperluaskan penawaran produk dan perkhidmatan kami. Kami optimis hubungan yang terjalin ini akan berkembang menjadi kerjasama yang memberi impak positif kepada kedua-dua organisasi serta masyarakat secara keseluruhannya.”

Beliau turut menyatakan bahawa YAPEIM HOLDINGS akan terus memperluaskan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak yang berkepentingan sebagai usaha memperkukuhkan pertumbuhan syarikat, memacu inovasi dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Kunjungan hormat ini diharap menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih erat antara YAPEIM HOLDINGS dan AFFIN Bank Islamic, seterusnya membuka lembaran baharu ke arah pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi.