LAWATAN RASMI MENTERI HAL EHWAL AGAMA KE PUSAT PEMANTAUAN PINTAR NEGARA DI IBU PEJABAT YAPEIM HOLDINGS, PUTRAJAYA

by | Jun 18, 2026 | Berita | 0 comments

Putrajaya – Lawatan rasmi telah diadakan oleh YB. Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ke Pusat Pemantauan Pintar Negara yang beroperasi di Ibu Pejabat YAPEIM HOLDINGS, Putrajaya. Lawatan ini bertujuan meninjau sendiri kemudahan teknologi pintar serta peranan pusat tersebut dalam memperkukuh sistem pemantauan dan pengurusan operasi secara bersepadu.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM serta pengurusan tertinggi YAPEIM dan YAPEIM HOLDINGS. Kehadiran para kepimpinan ini mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memperkasakan inisiatif transformasi digital dan teknologi pintar selaras dengan keperluan semasa.


Dalam sesi taklimat rasmi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM HOLDINGS, Irwan A. Rahman, telah menyampaikan penerangan menyeluruh mengenai fungsi, keupayaan serta kelebihan Pusat Pemantauan Pintar Negara. Beliau menjelaskan bahawa pusat ini dilengkapi sistem pemantauan berteknologi tinggi yang mampu meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan, analisis data masa nyata serta menyokong proses membuat keputusan secara lebih strategik dan pantas.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa pusat ini bukan sahaja memberi manfaat kepada ekosistem dalaman YAPEIM, malah berpotensi besar untuk dimanfaatkan oleh pelbagai pihak luar. Sehubungan itu, beliau berharap agar lebih banyak syarikat swasta, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat mengambil peluang melanggan pakej-pakej perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pusat Pemantauan Pintar Negara YAPEIM HOLDINGS, sejajar dengan aspirasi memperluas penggunaan teknologi pintar secara menyeluruh.


Secara keseluruhannya, lawatan ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam memperkukuh peranan teknologi pintar sebagai pemacu kecekapan, keselamatan dan kecemerlangan pengurusan organisasi.