Kuala Lumpur, 18 Ogos 2025 (Isnin) – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM Holdings Sdn. Bhd., En. Irwan A. Rahman hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI). Kehadiran beliau telah disambut oleh Timbalan Pengarah JAWI, Ustaz Kamaldin bin Mohd Damin di Pejabat JAWI, Kuala Lumpur.
Pertemuan ini memberi tumpuan kepada isu keselamatan yang kini menjadi perbualan hangat dalam masyarakat, khususnya berkaitan pemantauan premis-premis agama di bawah seliaan JAWI. Antara premis yang dikenal pasti sebagai fokus utama adalah masjid-masjid serta sekolah-sekolah agama, yang memerlukan sistem keselamatan lebih berkesan dan menyeluruh.
YAPEIM Holdings melalui kepakaran dalam bidang keselamatan, teknologi pemantauan serta penyelesaian digital komprehensif, menyatakan kesediaan untuk menawarkan kerjasama strategik bersama JAWI dalam usaha memperkukuh tahap keselamatan di premis-premis berkenaan.
Kedua-dua pihak turut bersetuju bahawa langkah proaktif dalam mempertingkatkan keselamatan premis agama bukan sahaja memberi manfaat dari sudut perlindungan aset dan jemaah, malah mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan institusi Islam di Wilayah Persekutuan.
Kunjungan ini menandakan komitmen berterusan YAPEIM Holdings untuk bekerjasama rapat dengan agensi agama dalam menyokong agenda keselamatan dan kesejahteraan masyarakat Islam secara menyeluruh.
