Pejabat YAB Menteri Besar, Wisma Negeri, Seremban, Negeri Sembilan, 15 Oktober 2025 – Kunjungan hormat ini telah dihadiri oleh En.Khairul Faiz, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YAPEIM Holdings dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, uan Haji Zabidi Nasan, Ketua Pengarah YAPEIM, En.Azhar Mohd Zaki, Ketua Divisyen Kewangan YAPEIM dan En.Irwan A.Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM Holdings ke atas YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, dalam usaha memperkukuh jalinan strategik antara YAPEIM dan Kerajaan Negeri.
Dalam sesi perbincangan, YAB Menteri Besar menyatakan sokongan penuh terhadap usaha-usaha YAPEIM dalam membangunkan agenda ummah melalui program berasaskan ekonomi Islam, pendidikan dan pembangunan sosial. Beliau turut menggalakkan penglibatan masyarakat sebagai Rakan Strategik Infaq dan Rakan Strategik Korporat YAPEIM, agar manfaat program dapat diperluas kepada lebih ramai lapisan masyarakat.
YAB Menteri Besar turut menyambut baik inisiatif pembangunan hartanah oleh YAPEIM di Negeri Sembilan dan memberikan pandangan strategik berhubung pelaksanaan projek agar lebih berimpak tinggi serta memenuhi keperluan setempat.
En.Irwan A.Rahman turut membentangkan mengenai perkhidmatan Pusat Pemantauan Pintar Negara yang dioperasikan oleh YAPEIM Holdings Sdn Bhd (YHSB), anak syarikat milik penuh YAPEIM, bagi tujuan pemantauan berpusat berasaskan teknologi terkini.
Selain itu, YAB Menteri Besar juga menyokong usaha perluasan maklumat mengenai kekuatan ekosistem emas YAPEIM yang kini memiliki 203 cawangan Ar-Rahnu YAPEIM dan 8 Cawangan YAPEIM Gold Akses di seluruh negara. Beliau menekankan bahawa pemilikan emas dalam kalangan masyarakat merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh ekonomi ummah, khususnya dalam suasana pasaran emas yang semakin meningkat nilainya.
Kunjungan ini membuka lembaran baharu kerjasama erat antara YAPEIM dan Kerajaan Negeri Sembilan ke arah memperkasa kesejahteraan rakyat melalui pendekatan Islamik yang menyeluruh.
