Bukit Mertajam, 28 November 2025 (Jumaat) — Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan YAPEIM Holdings telah mengadakan satu lawatan kerja ke kilang AYAMAS di Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada penilaian strategik terhadap potensi pembangunan perniagaan baharu di bawah inisiatif keterjaminan makanan negara.


Lawatan tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM Holdings, En. Irwan A. Rahman, bersama barisan kepimpinan kanan syarikat. Tujuan utama lawatan adalah untuk menilai kesesuaian fasiliti sedia ada bagi menempatkan operasi perniagaan baharu yang dirancang, selari dengan agenda YAPEIM Holdings untuk memperluaskan penglibatan dalam sektor makanan dan memperkukuh rantaian bekalan domestik.

Sepanjang lawatan, delegasi diberikan taklimat menyeluruh berkenaan struktur kilang, kapasiti pengeluaran serta potensi penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memenuhi keperluan operasi masa hadapan. Pemeriksaan tapak turut dilakukan untuk menilai kesediaan infrastruktur dan peluang optimasi yang dapat menyokong pelaksanaan projek ini.
YAPEIM Holdings melihat inisiatif tersebut sebagai langkah penting dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara serta mewujudkan peluang ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat dan ekosistem industri.
