KUNJUNG HORMAT YAPEIM KE MAJLIS AGAMA ISLAM KEDAH DAN LEMBAGA ZAKAT KEDAH

by | Jan 27, 2026 | Berita | 0 comments

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) bersama agensi di bawahnya, YAPEIM Holdings Sdn. Bhd. serta anak syarikat YAPEIM Holdings iaitu YAPEIM Gold Sdn. Bhd., telah mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan Lembaga Zakat Kedah (LZNK) pada 17 Disember 2025 (Selasa).

Kunjung hormat ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat serta memperkukuhkan kerjasama strategik antara YAPEIM dan institusi Islam di negeri Kedah, di samping menerokai peluang-peluang kerjasama yang berpotensi untuk dilaksanakan secara bersama. Fokus utama perbincangan adalah kepada inisiatif dan program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya dalam aspek kebajikan, pembangunan sosioekonomi ummah dan pemerkasaan ekonomi berteraskan prinsip Syariah.

Rombongan YAPEIM telah diketuai oleh Tuan Haji Zabidi bin Nasan dan Encik Irwan A. Rahman, yang turut berkongsi hala tuju serta peranan YAPEIM, YAPEIM Holdings dan YAPEIM Gold dalam melengkapkan ekosistem pembangunan ekonomi Islam di Malaysia.

Sepanjang sesi pertemuan, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi sinergi yang boleh diwujudkan melalui pelbagai bentuk kerjasama, termasuk pelaksanaan program pembangunan komuniti, inisiatif kewangan patuh Syariah serta usaha kebajikan yang lebih tersusun dan mampan.

YAPEIM yakin bahawa kunjung hormat ini menjadi platform penting dalam mengukuhkan jaringan kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Kedah dan Lembaga Zakat Kedah, sekali gus menyokong usaha berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat secara menyeluruh.