Putrajaya, 12 Ogos 2025 – YAPEIM Holdings Sdn. Bhd. hari ini menerima kunjungan hormat daripada Koperasi Media Berhad (Kop Media), yang diketuai oleh Pengerusinya, En. Mohd Fadzil Abdul Ghani, bersama lapan Ahli Lembaga termasuk pegawai kanan koperasi tersebut. Lawatan ini merupakan kunjungan balas selepas delegasi YAPEIM Holdings melakukan kunjungan hormat ke Kop Media pada Mei 2025 yang lalu.
Pertemuan tersebut membuka lembaran baharu dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, khususnya dalam bidang pengurusan harta, pemantauan keselamatan, dan perniagaan emas fizikal. Perbincangan turut menjurus kepada potensi pembangunan projek bersama yang mampu memberi manfaat kepada anggota koperasi, pelanggan, serta komuniti setempat.
Menurut En. Mohd Fadzil, hubungan erat antara Kop Media dan YAPEIM Holdings bukan sahaja berupaya mengembangkan peluang perniagaan, malah dapat memperkukuh jaringan ekonomi koperasi di Malaysia. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM Holdings En. Irwan A Rahman menyambut baik inisiatif ini dan optimis kerjasama tersebut akan membawa impak positif dalam jangka masa panjang.
Kunjungan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata dan gambar kenangan, sebagai simbol komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan strategik ke arah kejayaan bersama
Kunjungan Koperasi Media Berhad Perkukuh Jalinan Kerjasama Dengan YAPEIM Holdings Sdn. Bhd.
