CYBERJAYA, 3 Julai 2025 (Khamis) – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM Holdings Sdn. Bhd., Tuan Irwan A Rahman, bersama pasukan Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT) syarikat telah mengadakan lawatan rasmi ke TM Data Centre di Cyberjaya hari ini. Lawatan ini bertujuan untuk memahami dengan lebih dekat penawaran teknologi serta penyelesaian digital oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam usaha memperkukuh sistem sokongan teknologi untuk operasi YAPEIM Holdings.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik transformasi digital YAPEIM Holdings, selaras dengan aspirasi syarikat untuk menjadi organisasi yang lebih responsif dan efisien melalui penggunaan teknologi terkini. Delegasi YAPEIM Holdings disambut oleh pasukan kanan TM dan diberi taklimat komprehensif mengenai pelbagai produk serta infrastruktur kritikal yang ditawarkan oleh TM, termasuklah perkhidmatan cloud, pusat data, keselamatan siber, dan penyelesaian rangkaian pintar.
Menurut Tuan Irwan A Rahman, kunjungan ini membuka ruang kepada YAPEIM Holdings untuk menilai potensi integrasi penyelesaian teknologi TM ke dalam ekosistem perniagaan syarikat, terutamanya dalam menyokong sistem pengurusan maklumat, platform digital pelanggan, serta operasi harian yang bergantung kepada kecekapan digital.
“Kami melihat lawatan ini sebagai satu langkah penting dalam mempersiapkan organisasi untuk menghadapi cabaran masa hadapan, dengan memperkukuh keupayaan digital yang boleh menyokong pertumbuhan perniagaan dan memberi nilai tambah kepada pelanggan,” ujar beliau semasa sesi lawatan.
Dalam perbincangan dua hala yang turut berlangsung, beberapa potensi kerjasama jangka pendek dan panjang telah dikenalpasti untuk diteliti dan diperhalusi oleh kedua-dua pihak. Ini termasuk kemungkinan integrasi sistem ICT, pemindahan data ke awan (cloud migration), serta pemantapan keselamatan siber yang semakin kritikal dalam persekitaran digital hari ini.
Lawatan diakhiri dengan sesi lawatan ke fasiliti TM Data Centre yang berteknologi tinggi, di mana para delegasi berpeluang melihat sendiri tahap keselamatan, kawalan suhu, dan sistem pemantauan operasi pusat data yang menepati piawaian antarabangsa.
Dengan lawatan ini, YAPEIM Holdings optimis untuk memperkukuh ekosistem digitalnya dan meletakkan organisasi pada landasan yang lebih mantap untuk mendepani transformasi teknologi pada masa hadapan.
