KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2025 – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM HOLDINGS SDN. BHD. En. Irwan A. Rahman telah menghadiri Majlis Apresiasi & Amal YAPEIM 2025, sebuah majlis tahunan yang diadakan bagi meraikan dan menghargai sumbangan para pengamal media yang telah banyak membantu membuat liputan mengenai aktiviti dan program YAPEIM sepanjang tahun 2025.
Majlis yang berlangsung penuh meriah itu telah dihadiri dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua wakil media atas peranan mereka dalam menyebarkan maklumat positif mengenai usaha YAPEIM dalam memperkasa ekonomi ummah dan kebajikan masyarakat.
Sebagai salah satu daripada penaja bagi majlis berkenaan, YAPEIM HOLDINGS SDN. BHD. terus menunjukkan komitmen dalam menyokong pelbagai inisiatif YAPEIM, bukan sahaja dari segi operasi dan perniagaan, tetapi juga melalui sokongan terhadap program tanggungjawab sosial dan hubungan strategik dengan rakan media.
Dalam kesempatan tersebut, En. Irwan A. Rahman menzahirkan rasa penghargaan kepada pihak media atas kerjasama dan liputan positif yang diberikan sepanjang tahun. Menurut beliau, hubungan baik antara YAPEIM dan pengamal media merupakan salah satu kunci kejayaan dalam memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap peranan dan fungsi YAPEIM.
“YAPEIM HOLDINGS sentiasa menyokong usaha YAPEIM dalam memperluas capaian serta keberkesanan program kebajikan dan keusahawanan. Sokongan media amat penting dalam memastikan mesej kebaikan dan tanggungjawab sosial ini sampai ke seluruh lapisan masyarakat,” ujar beliau.
Majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian cabutan rezeki kepada wakil media, persembahan amal, dan penyampaian sumbangan kepada penerima terpilih, dan ini melambangkan keprihatinan YAPEIM terhadap golongan yang memerlukan.
