MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN FRANCAIS YSV & KOPERASI BANDARAYA MAJU BERHAD

by | Jan 23, 2026 | Berita | 0 comments

Putrajaya, 24 November 2025 (Isnin) – YAPEIM Smart Venture Sdn. Bhd. (YSV) merupakan anak syarikat YAPEIM Holdings Sdn Bhd yang mengendalikan perniagaan francais Ar Rahnu YAPEIM Premier, telah memeterai Perjanjian Francais bersama Koperasi Bandaraya Maju Berhad (KBMB) dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Mesyuarat Utama YAPEIM, Bangunan Ocher@Alamanda Putrajaya. Majlis ini menjadi satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh jaringan perkhidmatan Ar Rahnu YAPEIM Premier di seluruh negara melalui platform francais yang lebih tersusun dan mampan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Ketua Pengarah YAPEIM, En. Irwan A. Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM Holdings dan Pn. Nurul Hakim Che Ab Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif YAPEIM Smart Venture, turut hadir mewakili Koperasi Bandaraya Maju Berhad Dato’ Yapri Kamaruzaman, Pengerusi, Mohd Asward Mahadzir, Ketua Pegawai Eksekutif dan beberapa pegawai kanan KBMB. Kehadiran barisan kepimpinan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan kerjasama strategik bagi memperluas perkhidmatan Ar Rahnu YAPEIM Premier kepada lebih ramai pelanggan di seluruh Malaysia.

Selesai sesi menandatangani perjanjian, para tetamu dibawa melawat Pusat Pemantauan Pintar Negara (PPPN) yang terletak di pejabat YAPEIM Holdings. Pusat ini berfungsi sebagai pusat pemantauan berpusat bagi seluruh cawangan Ar Rahnu YAPEIM dan Ar Rahnu YAPEIM Premier di seluruh Malaysia, ia dilengkapi teknologi keselamatan dan analitik terkini bagi memastikan operasi yang lebih efisien, telus dan selamat. Lawatan ini membolehkan para tetamu melihat sendiri keupayaan sebenar sistem pemantauan digital YAPEIM yang menyokong keseluruhan rangkaian operasi Ar Rahnu YAPEIM Premier.

YSV percaya bahawa kerjasama dengan Koperasi Bandaraya Maju Berhad akan membuka peluang peluasan francais yang lebih agresif dan strategik pada tahun-tahun mendatang. Perjanjian ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekosistem Ar Rahnu YAPEIM Premier yang lebih berdaya saing serta memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi setempat.