KUNJUNG HORMAT KE PUSAT OPERASI TV ALHIJRAH

by | Jun 18, 2026 | Berita | 0 comments

Kunjungan hormat oleh delegasi YAPEIM, YAPEIM Holdings serta anak-anak syarikat ke pusat operasi TV AlHijrah di Kuala Lumpur berlangsung dalam suasana penuh mesra, profesional dan strategik. Delegasi ini diketuai oleh Tuan Hj. Zabidi Nasan, Ketua Pengarah YAPEIM, bersama En. Irwan A. Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM Holdings, turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif YAPEIM GOLD serta Pengurus Besar Koperasi YAPEIM Berhad.


Pertemuan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan kerjasama antara agensi-agensi di bawah naungan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), khususnya dalam memperluas peranan sosial bisnes dan bisnes strategik antara kedua-dua pihak. Selain mempererat silaturahim, sesi perbincangan turut menyentuh potensi kolaborasi dalam bidang penyiaran, pembangunan ekonomi ummah, program kebajikan, kesedaran masyarakat serta inisiatif yang mampu memberi impak berterusan kepada rakyat.


Delegasi YAPEIM juga berkongsi peranan dan hala tuju organisasi dalam memperkasa model Social Business, termasuk usaha menjana ekonomi sambil terus menyantuni golongan yang memerlukan. TV AlHijrah pula menyatakan keterbukaan untuk menjadi rakan strategik dalam menyampaikan mesej dakwah, pembangunan komuniti serta memperluas capaian program-program bermanfaat kepada masyarakat.


Ulasan En. Irwan A. Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM Holdings:
Beliau menyifatkan kunjungan ini sebagai satu langkah penting dalam membina sinergi strategik antara dua institusi yang mempunyai matlamat besar terhadap pembangunan ummah. Menurut beliau, hubungan yang terjalin bukan sahaja membuka ruang kerjasama dari sudut perniagaan, malah memperkukuh platform penyampaian mesej sosial, kebajikan dan ekonomi Islam kepada masyarakat.


Beliau turut menegaskan bahawa YAPEIM Holdings sentiasa komited untuk memperluas jaringan kolaborasi yang mampu memberi nilai tambah, memperkasa inisiatif sosial bisnes serta memastikan setiap usaha yang dilaksanakan memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat dan negara.

Secara keseluruhannya, kunjungan hormat ini dilihat sebagai permulaan kepada kerjasama yang lebih erat, strategik dan berimpak tinggi antara YAPEIM, YAPEIM Holdings dan TV AlHijrah pada masa hadapan.